Pages

Powered By Blogger

Friday, July 29, 2011

IKHLAS


IKHLAS


Ikhlas dalam kefahaman biasa orang awam ialah: " Lillahi Ta'ala", atau " Aku buat kerana Allah" , atau "Aku beri kerana Allah", atau " Aku bagi dengan ikhlas ", atau "Aku ikhlas ini, tak ada maksud apa apa" dan lain-lain lagi.
Menurut ahli tasawuf, ikhlas itu "Melakukan ibadat kerana menuntut keridhoaan Allah semata-mata" tanpa mengharap apa-apa ganjaran.  Pada pendapat mereka bagaiman layak seorang hamba menuntut upah daripada " tuannya".
Ahlul-Haq:  Syiekh Tajuddin Ibnu A'toillah berkata: "  Allah berkehendak agar sekalian hambanya bersifat " 'Ubudiyah" , iaitu beribadat kepada Allah dan bersifat dengan sifat kehambaan,doif, faqir yang sangat  berhajat kepada Allah, berdasarkan Firman Allah: "Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk meng'abdikan diri kepada Ku", dan katanya lagi;  Allah lebih kasih akan hambanya yang bersifat " 'Ubudiyah" melulu,  tanpa berhajat apa apa balasan daripada Allah.

Sendiri dapat menilai samada kita ikhlas atau tidak. Contohnya;  Ketika pengacara mengumumkan nama-nama penderma, nama kita  telah tercicir dari disebutnya, sedangkan kita telah memberi sumbangan yang banyak jumlahnya.  Apa kata hati kita, kecewa?, marah?, mahu memperotes ? sendiri tahu.
Orang yang ikhlas kerana menuntut  keridhoaan Allah, takut kalau amalnya diketahui orang atau disebut-sebut orang ,  kerana bimbang dia tidak dapat melawan sifat-sifat yang tercela dari menghinggapi hatinya. Sifat-sifat  takabbur, riya',  'ujub dan sum'ah adalah sifat-sifat Mazmumah  ibarat "api" yang jika menghinggapi hati kita, akan membakar pahala amal kita, sebagaimana api membakar  daun yang kering.  

1.Ikhlas ialah satu sifat ruhaniah yang sangat unggul, murni  dan mulia.
    1.1. "Ruhaniah" kerana ia berkaitan dengan ruh atau jiwa atau ruhani 
            dalaman manusia yang bersifat "Robbani" (hanya Allah sahaja yang 
            mengetahui hakikat  bentuk rupa kejadiannya).
    1.2.  Sangat unggul, murni dan mulia kerana inilah hakikat ruh manusia  yang
            dikehendaki oleh Allah Subhanahua Ta'ala selaras dengan perjanjian asal 
            semasa para ruh dikhitob dihadapan Allah, setelah diciptakanNya, untuk 
            membuat iqrar aku-janji.  Firman  Allah: "Wahai ruh, adakah AKU ini 
            Tuhanmu?, maka jawab para
            ruh , "Bahkan Ya Tuhan ( Engkaulah Tuhan kami).
    1.3.  Ruh, jiwa atau ruhani manusia inilah yang akan hidup kekal untuk   
            menerima pengadilan Allah Subhanahua Ta'ala (samada menerima    
            balasan syurga atau neraka).

2.Ikhlas tidak mungkin terbit dari jiwa yang tidak mengenal  dirinya dan 
mengenal Tuhannya (ma'rifah).
   2.1. Bagaimana orang boleh ikhlas jika dia tidak mengenal  dirinya: Siapa 
          dia ? Bagaimana dia diciptakan?, Siapa yang menciptanya?, Untuk apa dia 
          diciptakan?, dan kemana kesudahannya dia akan pergi ?
  2.2.  Bagaimana orang boleh ikhlas jika dia tidak mengenal siapa Penciptanya:            
           Bagaimana mengenaliNya?, Apa tanda/ dalil ujudNya? Apa tuntutanNya
           keatas dirinya ? Apa akibatnya jika ingkar akan perintahNya ?

3.Ikhlas tidak mungkin terbit dari jiwa yang tidak suci dari  syirik dan nifaq.
   3.1. Bagaimana jiwa boleh ikhlas jika  tidak ada Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid
          Rubbubiyyah dalam pegangan 'aqidahnya.  Jiwa tidak bebas dari 
          menyengutukan Tuhan. Belum bebas dari mengadakan  "Tuhan-Tuhan   
          Andaian (Andada)", atau meminta pertolongan daripada makhluk, seperti  
          toghut, jin syaitan atau iblis lalu dia memujanya.
           
  3.2. Bagaimana jiwa boleh ikhlas jika dia ada sifat nifaq dalam dirinya. 
         Dia hanya perpura-pura beriman, dalam melakukan amal ibadat, rupa-
          rupanya hanya untuk menarik  perhatian atau mengambil hati manusia, 
          demi menaruh sesuatu kepentingan.  Dia mengamalkan  sebahagian  
          perintah Allah dan menolak sebahagian yang lainnya. Segala-galanya
          dilakukan hanya berpura-pura taat.

  3.3.  Bagaimana jiwa boleh ikhlas jika dia tidak memahami konsep Tauhid Sifat, 
          Tauhid Asmaa' dan Tauhid Af'al. 

4.Ikhlas tidak mungkin terbit dari jiwa yang ada sifat  riya' kerana riya' adalah
lawan bagi ikhlas. Riya' juga adalah syirik khofi (syirik tersembunyi).
  4.1. Riya' ialah;  melakukan  sesuatu amal bukan kerana  menuntut 
         keridhoaan Allah.
  4.1. Tidak melakukan amal ibadat kerana takut dikatakan riya' adalah lebih 
         dahsyat daripada riya', kerana telah mengikut telunjuk syaitan.
  4.1. Melawan riya' adalah dengan meletakkan diri dalam sifat " 'Ubudiyah":
          " Sesungguhnya aku adalah hamba Allah, aku ingin menjadi seorang  
         hamba Allah yang bersyukur ".
         






TINGKATAN IKHLAS YANG TINGGI


IKHLAS ORANG ABRAR
IKHLAS ORANG MUQORRABIN

Dinaqal dari: SYARAH KITAB HIKAM - Terjemahan
(yang ditulis oleh Syiekh Imam Tajuddin Ibnu 'Atoillah Al-Iskandarie)

Kata Syiekh Tajuddin Ibnu 'Atoillah:
Amal perbuatan itu sebagai kerangka yang tegak,
ruhnya ialah rahsia ikhlas yang ujud dalam amal itu.

Huraian: Seperti yang telah dihuraikan diatas, ikhlas itu ialah melakukan amal perbuatan kerana menuntut keridhoaan Allah semata-mata. Lawan Ikhlas ialah Riya' atau Syirik Khofi (syirik yang tersembunyi). Namun menurut Syiekh Ibnu 'Atoillah, amal yang kita lakukan adalah umpama sebuah kerangka yang tegak yang mempunyai ruh seperti tubuh badan manusia. Ruhnya ialah ikhlas. Kerangka itu boleh jadi tegak lurus berdiri atau rebah dan rapuh tidak bermaya mengikut tingkatan ikhlas yang dimiliki oleh tuan punya amal. Menurut beliau, kerangka yang dapat berdiri lurus tegak ialah kerana tuan punya amal telah memperolehi rahsia ikhlas yang dianugerahkan oleh Allah kepadanya. Menurut beliau lagi, ikhlas dalam beramal kerana menuntut pahala, ibarat seorang hamba yang menuntut upah daripada tuannya. Ikhlas seperti ini masih dikira bukan hamba yang taat seratus peratus taat. Bagaimana kalau tidak diberi upah ? tentu akan merungut. 
Beliau menyarankan agar para salik mengamalkan sifat ikhlas  orang Abrar kemudian naik ke tingkatan ikhlas orang Muqorrabin. 

Ikhlas orang Abrar:
Amal perbuatannya bersih dari riya'  nyata dan riya' tersembunyi. Riya' nyata ialah amal perbuatan yang dilakukan kerana makhluk. Riya' tersembunyi ialah amal perbuatan yag dilakukan kerana menuntut pahala. Bukan kecintaan kepada Tuhan.
Ini ialah berasaskan Firman Allah:   "Hanya Engkau yang kami sembah" yang harus juga ditafsirkan dengan makna tersirat  "Hanya Engkau Tuhan yang kami sembah dan tumpuan kami meng'abdikan diri "  ertinya kalau setakat kita sembah sahaja bermakna boleh menuntut anugerah, tetapi jika bermakna kita meng'abdikan diri sebagai seorang hamba, bererti kita tidak  layak menuntut upah. Oleh itu adalah lebih utama jika sekiranya kita meletakkan diri kita pada hakikat seorang HAMBA ALLAH.  Kedua, berasaskan Firman Allah yag bermaksud: " Jangan kamu mensyirikkan Allah dalam ibadat kamu dengan sesuatu yang lain ".  
 
Ikhlas orang Muqorrabin:
Adapun ikhlas orang Muqorrabin ialah mereka yang mengambil pengertian:     " Tiada daya tiada upaya melainkan dengan (af'al) Allah "  dalam setiap amal pekerjaan yang mereka dilakukannya. 
Huraian: Orang yang Muqorrabin berpegang kepada pengertian Tauhid Af'al Allah, bahawa kita adalah dalam "genggamanNya". Setiap suatu pekerjaan yang kita lakukan, tiada suatu pun yang layak kita bangsakan kepada hakikat perbuatan kita. Semuanya adalah hakikat perbuatan Allah. Tiada daya untuk mengelakkan sesuatu dan tiada kekuatan untuk melakukan sesuatu melainkan dengan pertolongan Allah dan dengan "af'al" Allah. Tiada daya upaya sendiri, tiada kekuatan sendiri, semuanya itu daripada taufiq (dorongan) dan hidayah (petunjuk) daripada Allah. Tidak berdiri dengan sendiri melakukan sesuatu amal perbuatan,  melainkan ianya adalah dari Allah, berserta Allah, dengan Allah, kepada Allah dan kerana Allah.


Haza  min fadhlika  ya  Allah,  Wallahu a'alam bis-sawaab
Wa billahi taufiq wal hidayah, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan (af'al) Allah.
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wa barakaatuh.