Pages

Powered By Blogger

Tuesday, August 2, 2011

IBADAT PUASA RAMADHAN



السلام عليكم ورحمة الله و بركـاته

'IBADAT  PUASA  RAMADHAN

Pengertian Puasa:
1.Pengertian puasa peringkat orang awam (Puasa Awam)ialah;               Menahan diri dari makan, minum, berjimak dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, disiang hari, mulai dari terbit fajar sadiq hingga terbenam matahari.

2.Pengertian puasa peringkat orang Khas ialah ;:
2.1.Menahan diri dari makan, minum, berjimak dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, disiang hari, mulai dari terbit fajar sadiq hingga terbenam matahari.
2.2.Menahan anggota yang tujuh iaitu mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, dan anggota kemaluan dari melakukan perkara-perkara yang maksiat.
2.3. Mengharap pencapaian maqam Taqwa dan Ridha Allah.

3.Pengertian puasa peringkat orang Khawasul Khawas ialah ;
3.1. Menahan diri dari makan, minum, berjimak dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, disiang hari, mulai dari terbit fajar sadiq hingga terbenam matahari.
3.2.Menahan anggota yang tujuh iaitu mata, telinga, mulut, hidung, tangan, kaki, dan anggota kemaluan dari melakukan maksiat,
3.3.Mensucikan hati dari segala sifat yang 'aib dan tercela iaitu menjauhi dari segala sifat Mazmumah (yang dibenci oleh Allah).
3.4. Mengharap pencapaian maqam Taqwa dan Ridha Allah.
Inilah puasa Para Rasul, Nabi, Muqorrabin dan Aulia Allah.

Sabda Rasulullah SAW  

كَمْ مِنْ صَاءئِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَا مِهِ إِلاَّ الْجُوْ عُ وَالْعَطَشُ .
yang bermaksud: " Berapa ramai orang yang berpuasa yang tiada memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga "
(Hdith riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

4.Puasa yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW  dalam Hadith tersebut ialah apa yang disitilahkan oleh para Ulama' sebagai "Puasa Orang Awam" dan biasa juga diistilahkan orang sekarang sebagai  "Puasa Budak Baru Belajar".

5.Syiekh Syed  Abdullah Alwi al-Hadad dalam kitabnya "An-Nasoihu ad-Diniah" menjelaskan bahawa diantara tatatertib dan adab-adab berpuasa itu ialah;

5.1. Menjaga lidah daripada berdusta, mencaci orang, mengumpat dan lidah cabul.
5.2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar sesuatu yang dilarang oleh agama.
5.3. Menahan perut daripada makan dan minum daripada benda-benda yang haram atau syubahat.
Para salaf berkata: " Jika anda berpuasa, perhatikanlah apa yang anda makan berbuka dan ditempat siapa anda berbuka."
Bemaksud: Kita hendaklah menjaga apa yang kita makan, dimana kita makan dan siapa yang beri makan untuk berbuka, kerana kita perlu menjaga daripada yang haram dan syubahat..
Apalah ertinya kita menahan diri waktu siang daripada memakan benda yang halal, sedangkan masa berbuka kita makan benda yang haram atau syubahat.
5.4. Jangan terlalu banyak tidur waktu siang dan terlampau kenyang waktu malam.
5.5. Peliharalah seluruh anggota badan dari membuat dosa. (Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW: " Berapa ramai orang yang berpuasa yang tiada memperolehi apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.".
5.6. Hendaklah meninggalkan daripada bermewah-mewah dalam makan dan minum. (Jangan hendaknya menyediakan makanan dan minuman yang lazat-lazat untuk tujuan menjamu selera melebihi hari-hari biasa. Jangan jadikan bulan Ramadhan sebagai bulan menjamu selera.Dikhuatiri akan menyebabkan hati jadi benak dan gelap, badan menjadi berat dan malas, lalu sukar untuk memperolehi keni'matan untuk beribadat ).
5.7. Hendaklah berusaha menumpukan kegiatan beramal dibulan puasa ketahap yang maksima. Kurangkan atau sebaik-baiknya hentikan dari melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan kesempurnaan puasa.
5.8. Sunat menyegerakan berbuka. Berbukalah dengan buah tamar atau air biasa.
5.9. Sedikitkan makan dan minum waktu berbuka agar Allah memberi hikmah kesan berpuasa itu, iaitu dapat mencapai kelazatan beribadat. Kata Hukama'
 " Jika perut kenyang maka laparlah seluruh anggota yang lain dan jika perut lapar maka kenyanglah seluruh anggota yang lain ".
5.10. Selepas berbuka; berharaplah semoga puasa kita diterima oleh Allah dan merasa bimbang kalau-kalau ia tidak diterima.

Berkata Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali r.a.;

" Ketika berbuka puasa, hendaklah pastikan semua makanan adalah halal. Jangan memperbanyakkan daripada kadar biasa anda makan pada waktu malam. Apabila anda menghimpun makanan siang kepada malam untuk dimakan sekali gus, maka bererti anda hanya memindah makan dari waktu siang kepada waktu malam. Hakikatnya, tiada mencapai maksud puasa, kerana yang dimaksudkan puasa itu ialah memecahkan syahwat dan melemahkan nafsu supaya mudah mencapai "taqwa".

Puasa  adalah umpama  kunci satu pintu rahsia yang menuju kepada pintu-pintu rahsia yang lain. Apabila mencapai maksud, maka Allah memudahkan terbukanya pintu-pintu keta'atan yang lain.

Ganjaran ibadat puasa juga sangat istimewa, tidak sama dengan ibadat-ibadat yang lain.

Sabda Rasulullah, Allah Ta'ala berfirman dalam Hadith Qudsi:

قَالَ اللهُ تَعَالَى:كُلُّ حَسَنَةٍ بِعَشْرِ اُمْثَالِهَا اِلَى سَبْعِمِاَ ئَةِ ضِعْفٍ اِلاَّ الصَّوْمَ
 فَاِنَّهُ لِى وَأَناَ أَجْزِىْ بِهِ .

yang bermaksud: " Allah berfirman (dalam Hadth Qudsi): Setiap kebaikan itu akan digandakan kepada sepuluh kali ganda hingga tujuh ratus kali ganda (mengikut tingkatan ikhlas dan keindahan amal itu) kecuali puasa, maka puasa itu adalah untuk Ku dan Akulah yang akan langsung membalasnya (dengan balasan yang sangat banyak hingga tidak terkira banyaknya ".

Yang membatalkan puasa ialah;

Ibadat puasa akan terbatal jika berlaku atau melakukan salah satu perkara yang berikut:-
(1)   Memasukkan sesutu kedalam rongga tubuh badan yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga, anggota kemaluan dan lain-lain dengan sengaja. Jika terlupa bahawa dia sedang berpuasa, tiada batal. – (wajib qadha)
(2)   Muntah dengan sengaja.- (wajib qadha)
(3)   Berjimak atau mengeluarkan air mani dengan sengaja.            - (bagi jimak: wajib kifarah puasa dua bulan berturut-berturut, bagi mengeluarkan air mani dengan sengaja: wajib qadha tetapi tiada wajib kifarah)
(4)   Kedatangan haidh atau nifas, bagi perempuan. – (wajib qadha)
(5)   Gila walau sekejap atau hilang akal sepanjang hari dari fajar hingga ke maghrib.  - (tiada wajib qadha kerana gila, tetapi bagi hilang akal kerana pitam, mabuk, pingsan dan sebagainya, wajib qadha)
(6)   Murtad iaitu keluar dari Agama Islam.(wajib qadha apabila masuk Islam semula)

Harus berbuka puasa;
(1)   Orang yang dalam perjalanan (musafir) –
     *Wajib qadha'.
(2)   Orang yang sakit -.
     *Wajib qadha'.
(3)   Orang perempuan yang menyusukan anak -
*Jika takut mudharat bagi dirinya maka wajib qadha.
*Jika takut mudharat anaknya maka wajib qadha' dan   
 fidyah.

Yang membatalkan pahala puasa ialah;
(1)   Bercakap dusta atau bersumpah bohong.
(2)   Mengumpat atau mengata-ngata keburukan orang.
(3)   Mengacum, mengadu-dumba, bergaduh atau membuat sesuatu yang mendatangkan permusuhan.
(4)   Melihat benda-benda yang boleh mendatangkan syahwat.
(5)   Marah.

Orang yang wajib Imsak;
Apa itu Imsak ?
Imsak ialah menahan diri dari makan dan minum disiang hari seperti mana juga orang sedang berpuasa, tetapi tidak dikira sebagai berpuasa.
    Hikmah Allah mewajibkan Imsak ialah kerana Allah sangat memuliakan bulan Ramadhan melebihi dari bulan-bulan yang lain dan Allah sangat menyanjung dan memuliakan orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan. Oleh itu tidak sewenang-wenangnya orang boleh makan dan minum disiang hari pada bulan Ramadhan. Allah menghendaki semua orang memuliakan bulan Ramadhan dan menghormati orang-orang yang sedang berpuasa.

Siapakah yang wajib melakukan imsak di bulan Ramadhan ?

(1)   Orang yang batal puasanya disebabkan berlaku salah satu yang membatalkan puasa.
   *Wajib imsak dan wajib qadha.
   *Bagi orang yang berjimak disiang hari hukumnya sangat berat
    iaitu: dikenakan kifarah (denda) -  iaitu wajib berpuasa selama
    dua bulan berturut-turut. Jika terbatal sehari, wajib diulang 
    semula berpuasa dua bulan berturut-turut.
   
(2)   Orang yang bersahur terlajanjur waktunya.
   *Wajib imsak dan wajib qadha.
   
    (3)  Orang yang berbuka belum sampai waktunya.   
           *Wajib imsak masa yang masih berbaki dan wajib qadha.
   
    (4)  Orang yang tidak berniat puasa pada malam hari.
           *Wajib imsak dan wajib qadha (kecuali dia ada berniat pada
            malam awal Ramadhan bertaqlid kepada Mazhab Maliki
            misalnya, seperti ini, " Aku niat berpuasa esok hari dan
            seterusnya tiap-tiap hari sebulan Ramadhan tahun ini kerana
            Allah Ta'ala".

(6)   Orang yang tidak berpuasa pada hari awal Ramadhan, kerana disangkanya masih Syaaban.
            *Wajib imsak dan wajib qadha.

(7)   Orang yang termasuk air melalui mulut atau hidung ketika mandi dan sebagainya.
    *Wajib imsak dan wajib qadha.

(8)   Orang perempuan yang tidak berpuasa kerana haidh, tiba-tiba kering (berhenti) hidnya pada waktu siang.
    *Wajib imsak dan wajib qadha.

(9)   Orang yang berhari raya pada 1 Syawal pergi berkunjung ke negeri lain yang didapatinya masih belum raya,
             *Wajib imsak kerana menghormati orang sedang berpuasa di
              negeri itu.

(10) Orang yang sengaja membatalkan puasanya tanpa apa-apa sebab.
     *Wajib imsak dan wajib qadha. (tidak boleh makan minum
      sewenang-wenang disiang hari).
     *Berdosa kerana sengaja membatalkan puasanya tanpa
      apa-apa sebab.
            
Sabda Rasulullah SAW;

خَمْسُ يُفْطِرْنَ الْصَّا ئِمَ: الكَذِبُ وَالْغَِيْبَةُ وَالنَّمِيْمَةُ وَالنَّظَرُ بِشَهْوَةٍ وَالْيَمِيْنُ الْكَاذِبَةُ .

yang bermaksud: " Lima perkara membatalkan (pahala) puasa iaitu; berbohong, mengumpat, membuat fitnah, melihat perempuan (yang bukan mahram) dengan syahwat dan membuat sumpah palsu  "
( Hadith riwayat Ad-Dailami)                   


Pintu " Ar-Riyan" di Syurga bagi orang yang berpuasa;
Sabda Rasulullah SAW:

لِلْجَنَّةِ بَابٌ يُقَالُ لَهُ " اَلرِّيَانٌ " لآَ يَدْخُلُـهُ اِلاَّ الصَّـآئِمُوْنَ .


yang bermaksud: " Didalam syurga ada satu pintu yang bernama        "Ar-Riyan" dimana pintu itu tidak dapat dimasuki oleh sesiapa kecuali oleh orang yang berpuasa ".

  
Wallahu a'lam. bis-sawaab, wa billahi taufiq wal-hidayah,
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh


No comments:

Post a Comment