Pages

Powered By Blogger

Wednesday, May 2, 2012


WAKTU-WAKTU YANG KITA DILARANG SOLAT

HADITH SAHIH MUSLIM MENGENAI:
RASULULLAH S.A.W. MELARANG KITA MENGERJAKAN SOLAT  SESUDAH SOLAT ‘ASAR & SUBUH DAN KETIKA MATAHARI SEDANG MENYINGSING & TERBENAM.

عَنْ أَبىِ هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْعَصْرِحَتَى تَغْرُبَ  الشَّمْسُ وَعَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تّطْلُعَ الشَّمْسُ .  
Yang bermaksud: “ Dari Abi Hurairah r.a. katanya: “ Bahawasanya Rasulullah s.a.w. melarang mengerjakan solat sesudah ‘Asar sehingga telah terbenam matahari dan sesudah Subuh sehingga telah naik matahari.


عَنِ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لاَيَتَحَرَّى أَحَدُكُمْ فَيُصَلِّ عِنْدَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَلاَ عِنْدَ غُرُوْبِهَا .
Yang bermaksud: “ Dari Ibni ‘Umar r.a. katanya: “ Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Jangan seseorang kamu mengintai-intai (waktu) untuk mengerjakan solat ketika matahari sedang terbit dan ketika sedang terbenamnya ” .

عَنْ عُقْبَةَ  بْنِ عَامِرٍ الْجُهَنِّيِّ يَقُوْلُ ثَلاَثُ سَاعَاتٍ كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُصَلِّى فِيْهِنَّ أَوْ أَنْ نَقْبُرَ فِيْهِنَّ مَوْتَانَا حِيْنَ تَطْلُعُ اَلشّمْسِ بَازِغَةً حَتَّى تَرْتَفِعَ وَحِيْنَ يَقُوْمُ قَائِمُ الظَّهِيْرَةِ حَتَّى تَمِيْلَ الشَّمْسُ وَحِيْنَ تَضَيَّفُ الشَّمْسُ لِلْغُرُوْبِ حَتَّى تَغْرُبَ .
Yang bermaksud: “ Dari ‘Uqabah bin ‘Amir Al-Juhanni r.a. telah berkata ia:: “  Tiga waktu, Rasulullah s.a.w. telah melarang kami mengerjakan solat didalamnya atau menguburkan mayat, iaitu; ketika matahari sedang terbit hingga agak meninggi, ketika matahari sedang tepat dipertengahan langit hingga ia condong dan ketika matahari sedang hampir terbenam hingga ia terbenam habis” .
  
Allah berfirman:“Sesungguhnya solat itu adalah suatu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman (mengikut) waktu-waktu yang telah ditentukan ” . 
(An-Nisaa’ : 103)

Ada waktu yang wajib, ada waktu yang sunat dan ada waktu yang makruh dan dilarang kita mengerjakan solat.

WAKTU-WAKTU YANG DILARANG MENGERJAKAN SOLAT  IALAH:

1.Selepas solat Subuh sehingga matahari terbit.
2.Ketika matahari sedang menyingsing naik sehingga   
   matahari itu terbit sepenuhnya (lebihkurang 28 minit).
3.Ketika matahari berada tegak tepat diatas kepala sehingga   
   matahari condong ke ghurub (barat).
4.Ketika matahari berwarna kuning sehingga ia terbenam.
5.Sesudah solat asar sehingga matahari terbenam.

Pengecualian:

Kecuali solat-solat yang bersebab, iaitu 

1. Solat gerhana matahari. 

2. Mengqadha’ solat. 

3. Solat Janazah.  

4. Solat-solat yang dikerjakan ketika menghadiri solat Juma’at. 

5. Solat yang dilakukan di Masjidil Haram.

 

ULASAN
Ramai orang keliru tentang larangan solat selepas solat Subuh dan ketika waktu Isyrak. Ramai pula yang kurang memahami apa yang dimaksudkan dengan ISYRAK dan istilah TATLU’-ASY-SYAMS atau TULUU-‘ISY-SYAMS (matahari sedang terbit).

ISYRAK atau SYURUK ialah keadaan ketika matahari sedang terbit di ufuk timur selepas habis waktu Subuh. Mengikut kiraan falak, matahari mengambil masa kira-kira 28 minit untuk menyingsingkan seluruh badannya dan terbit meninggi di ufuk timur

Kebanyakan masjid  mempunyai alat paparan Jadual Waktu Solat elektronik yang canggih yang boleh mengeluarkan nada isyarat masuk waktu solat setiap waktu, termasuklah waktu  IMSAK dan ISYRAK.

Untuk makluman muslimin muslimat, isyarat itu sebenarnya terbahagi kepada dua: 
Pertama; isyarat SURUH, & Kedua; isyarat LARANG.

Apabila isyarat waktu solat berbunyi, bererti kita diSURUH azan dan solat.

Tetapi apabila isyarat IMSAK berbunyi bererti kita diLARANG makan jika kita akan berpuasa pada hari itu. Begitu juga apabila isyarat ISYRAK berbunyi, itu  bererti kita diLARANG mengerjakan SOLAT kerana matahari sedang menyingsing naik yang mengambil masa kira-kira 28 minit baru terbit sepenuhnya dari ufuk timur.

Hadith Sahih Bukhari Jilid 1 , bil.330:
Ibnu  Umar r.a.mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda;  “Jangan kamu solat ketika matahari sedang terbit dan jangan kamu solat ketika matahari sedang terbenam “.

Disebabkan kekeliruan ini, apabila masuk waktu ISYRAK, terdapat orang yang bangun mendirikan sunat ISYRAK. Sedangkan ketika itu adalah saat yang ditegah. Oleh itu harus difahami bahawa tiada solat sunat ISYRAK melainkan setelah masuk waktu DHUHA. Disegi istilah, bila dikatakan solat sunat ISYRAK, itu adalah merujuk kepada sunat DHUHA jua, sebagaimana solat Fajar itu adalah merujuk kepada solat Subuh jua.

Walaupun kita ditegah mendirikan solat pada waktu tersebut, namun kita sangat digalakkan melakukan ibadat-ibadat yang lain seperti membaca Al-Quran, bertasbih, bertahmid, berzikir, beristighfar, beri’tikaf di dalam masjid, muhasabah diri dan lain-lain yang sangat besar fadhilatnya,  Wallahu a’alam bissawab.