Dinaqal dari: SYARAH KITAB HIKAM - Terjemahan
(yang ditulis oleh Syiekh Imam Tajuddin Ibnu 'Atoilllah Al-Iskandarie)
Kata Syiekh Tajuddin Ibnu 'Atoillah dalam Kitab Usulul Ma'qub:
"Barangsiapa tiada mengenal hakikat dirinya serta 'aibnya niscaya tidak akan sampai kepada ma'rifah. Dia berada di belakang hijab."
Di dalam Syarah Kitab Hikam, Syiekh Ibnu 'Atoillah menghuraikan butiran mutiarakata diatas, dengan panjang lebar. Beliau bukan sahaja menghuraikan tentang "mengenal diri" bahkan menghuraikan beberapa manhaj, tatacara, garispanduan, adab-adab, dan berbagai hal yang mungkin menimpa para salik yang menjalani bidang sufi dan ilmu kerohanian. Alih bahasa yang menggunakan tata bahasa Melayu lama meyukarkan seseorang untuk memahami maksudnya. Lebih-lebih lagi mutiarakata dari Kitab Hikam memang terkenal banyak mengandung istilah kerohanian yang tersirat dari yang tersurat.
Seseorang perlu duduk beradab menghadap guru, meneliti dengan jiwa yang tawaddu', menjalani riadhah kerohanian, dengan jiwa yang suci, sabar dan istiqomah, barulah mudah menerima pertunjuk Ilahi untuk memahaminya.
Mudah-mudahan kita semua tidak terputus dari pertunjukNya, (li 'ala sawab) mudah-mudahan huraian ini menghampiri maksud dan kehendak Muallif-Rahimahullahu Ta'ala :-
1. Bahawasanya menuntut segala ghaib dengan tiada menghilangkan segala 'aib bukan jalan yang hakiki bagi salik.
Huraiannya: Bagi seorang salik (yang sedang beriadhah menyucikan diri kerana hendak menuju kepada Allah), hendaklah mengenal segala sifat Mazmumah yang ada pada dirinya dan membuangnya satu persatu sehingga dia kosong dan sepi dari yang 'aib. Pada masa yang sama hendaklah memakai pakaian Mahmudah, iaitu bersifat dengan segala sifat yang mulia dan terpuji sebgaimana yang dimiliki oleh para Rasul, Anbiyaa' dan Auliyaa'.
2. Tiada hijab segala ghaib melainkan ujud segala 'aib. Bagaimana dapat melihat ghaib jika masih ada 'aib.
Huraiannya: Yang menghijab rohani kita dari mencapai tahap Ma'rifah ialah diri kita sendiri, iaitu nafsu kita yang masih dikuasi olah An-nafsul ammaroti-bissuu' (Nafsu yang mengarah kepada berbuat kejahatan). Kalau sudah melepasinya, kita kena beriadhah lagi sehingga dapat melenyapkan segala yang mazmumah. Kalau sudah melepasinya, kita masih kena beriadhah lagi sehingga kita dapat melenyapkan segala 'aib yang sir ( yang tersembunyi) kadang-kadang kia sendiri tidak menyedari kalau tidak dengan petunjuk Allah.
Terbuka segala ghaib adalah suatu pencapaian kerohanian pada peringkat permulaan salik, iaitu setelah seseorang itu menjalani mujahadah zahir dan batin, taqarrub ilallah (latihan intensif menghampirkan diri kepada Allah) dibawah pimpinan Guru Mursyid. Pencapaian tahap awal saliknya ialah beroleh Ma'unah daripada Allah dengan dibukakan hijab. Dengan izin Allah seseorang itu dapat mengalami perkara yang asrar seperti melihat alam ghaib, melihat nikmat syurga, melihat azab neraka, melihat azab kubur dan lain-lain (melalui mimpi atau bukan mimpi).
3. Perasangka buruk dalam sir, menjadi hijab ketika salik. Melihat 'aib pada orang, itulah 'aib diri sendiri.
Huraiannya: Ada orang yang bersungguh-sungguh memohon supaya dapat melihat yang ghaib-ghaib pada awal saliknya. Maka apabila Allah membuka yang ghaib, tiba-tiba dia melihat sesuatu yang 'aib pada diri orang lain. (Contoh: Melihat rakannya berkepala himar atau bermulut hinzir, dan sebagainya). Maka dia menyangka dia telah mencapai tahap Kasyaf. Sebenarnya, pada hakikatnya ialah, Allah sedang menzahirkan 'aib dia. Allah sedang memperlihatkan hakikat syahwat dia atau hakikat nafsu dia atau hakikat kelakuan buruk dia yang belum dibersihkan. Kenapa?. Sebabnya ialah selama ini dia asyik berperasngka buru terhadap orang, melihat 'aib orang, sedangkan dia tidak pernah mahu melihat 'aib sendiri. Maka Allah beri dia "cermin diri " untuk memudahkan dia dapat melihat 'aib dirinya, guna untuk membersihkannya. Jika dia mengambil manfaat daipadanya, beruntunglah dia. Jika tidak, dia terus berada didalam keaiban dirinya berpanjangan.
Bahawasanya mengetahui segala 'aib itu Haqqul-Adab. Hanya dapat terjadi dengan Ma'unah Allah, dengan kehendakNya dan RahmatNya. Oleh itu jangan menuntut yang ghaib. Sebaiknya minta tolong daripada Allah melenyapkan yang 'aib.
4. Suci daripada 'aib akan terbuka pintu ghaib. Behasil
mencapai ma'rifah.
Tidak akan mencapai tahap Ma'rifah selagi rohani belum disucikan dari segala 'aib dan mazmumah. Salah satunya 'aib yang sukar dihapuskan ialah memuji diri. Memuji diri dalam sir itu adalah 'aib yang tersembunyi. Sukar dilihat tetapi menghijab. Itulah 'Ujub dan Sum'ah. Memuji diri itu, ibarat memakai pakaian yang tidak layak bagi kita. Mana layak makhluk memakai pakaian Khaliq. Hanya Allah yang layak memakai segala Puji-Pujian. Allah berfirman:
فَلاَ تُزَكُّوْا آنْفُسَـكُمْ هُوَ أَعْلَمُ بمَنِ اتَّقـى
Bermaksud: " Maka janganlah kamu menganggap diri kamu bersih, (sebenarnya) Allah lebih mengetahui, siapakah orang yang lebih taqwa (kepadanya) " - (Surah An-najm : 32)
Pernah seorang bertanya kepada seorang ahli Hikmah: " Apakah kebenaran yang buruk?"
Lalu dijawab oleh ahli Hikmah: "Pujian seseorang terhadap dirinya sendiri".
Sesungguhnya, memuji diri sendiri itu adalah mengurangkan harga diri sendiri disisi manusia dan menyebabkan kemurkaan Allah terhadapnya.
Sangat besarnya hakikat "al-Hamd" dalam اَلْحَمْدُ لِلهِ رَبِّ الْعألَمِيْنَ . "Al-Hamd" itu adalah "kepujian" yang hakiki bagi Zat Yang Qodim dengan kesempurnaan sifat-sifat Allah Yang Maha Mulia. Setiap kali kita dipuji atau terlanjur memuji diri, kembalikannya kepada Allah Yang Maha Besar (iaitu dengan memohon ampun serta bertahmid kepadaNya).
Ma'rifah itu tercapai dengan pertolongan Allah dan rahmatNya, setelah berjaya mensucikan diri dari segala 'aib yang nyata dan sir. Mensucikan diri dari 'aib itu juga hanya berjaya dengan minta tolong kepada Allah. Ma'rifah itu terjadi apabila Allah mengizinkan terbukanya hijab lalu dapat melihat yang ghaib.
Wallahu a'lam. Li 'ala-sawab, wa billahi taufiq wal-hidayah,
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wa barakatuh
No comments:
Post a Comment